Part 2


Setelah 4 hari di Dubai barulah wanita itu dapat menjejakkan kaki semula ke tanah air. Kepulangannya hari ini tidak diberitahu kepada Johan dan dia juga sebenarnya enggan menyusahkan suaminya untuk menjemputnya malam-malam begini. Sedar semenjak beberapa hari yang lalu hubungannya dengan Johan jadi terlalu dingin. Panggilannya langsung tidak dijawab suaminya. Mungkin Johan masih bengang dengannya.


Biarlah, kalau Johan sendiri tidak mahu mengerti dengan keadaan dirinya. Lantaklah! Tetapi dalam keadaan begitu pun, malam semalam ketika dia menghubungi rumah untuk bercakap dengan kedua-dua anak perempuannya, pembantu rumahnya berkata mereka bertiga keluar sejak selepas maghrib.


''Eleh! Dalam marah-marah tu pun boleh lagi jumpa kawan-kawan dia....' desis hati Lyn sendiri.


Dalam perjalanan pulang, telefon bimbitnya yang dimatikan semenjak beberapa jam tadi dihidupkan semula. Tertera beberapa panggilan masuk yang tidak dijawabnya. Paling banyak sudah tentulah daripada suaminya. Melihat panggilan terakhir daripada Johan dibuat kira-kira 3 jam yang lalu, Lyn segera menghubungi semula suaminya.


''Hmm... kenapa offkan phone? Tak cukup-cukup lagi Pak Arab tu nak mengacau bini orang? Tahulah Pak Arab tu tiada bini. Yang bini orang tu pun... ingatlah sikit ada suami yang menunggu dekat rumah ini. Walaupun Pak Arab itu penting sangat berbanding suami, at least on your phone supaya senang nak dicari!'' keras nada suara Johan menampar gegendang telinga Lyn. Turut menampar kesabaran wanita itu.


''Yang abang ni tak habis-habis nak marah Lyn ni kenapa? Dah buang tabiat ke apa? Tak boleh cakap elok-elok?'' Lyn membalas geram. Sakit hatinya. Bercakap main sedap tembak aja! Sentiasa mahu menegakkan ego. Sedangkan dia sudah meminta maaf berkali-kali. Masakan hal seperti ini mahu diperbesarkan sampai ke anak cucu?


''Aik? Terasa pulak ke? Cakap macam itu pun nak marah?'' sindir Johan tajam.


''Malaslah nak layan abang ini. Keras kepala tak bertempat. Untuk pengetahuan abang, Lyn dah sampai KL dan Lyn matikan telefon dalam flight balik ke KL untuk suami dan anak-anak. Bukannya melayan Pak Arab macam yang abang sangka itu! Kalau abang tak mahu faham Lyn, it's okey. Tapi janganlah bercakap ikut sedap mulut sebelum tanya situasi orang dulu, ada faham ka?'' tempelek Lyn agak keras.


Johan spontan terdiam mendengarkan itu.


''Alamak, dia dah sampai KL,'' desis hati Johan sekadar dalam hati. Jantungnya berdetak hebat. Menyedari dia sudah tersalah sangka mulalah perasaaannya jadi libang-libu saat ini.


''Err... sa.... sayang dah sampai KL? Kenapa tak call abang?'' Mulalah nadanya berubah tidak tentu hala. Tergagap-gagap dia mahu memperbetulkan keadaan. Kesal benar kerana bercakap mengikut sedap mulut.


''Alahai.... karang merajuk tak dapatlah aku peluk dia,'' bisik hati Johan sendiri.


''Yes, I've just arrived! Lyn tak call sebab abang pun macam dah tak berminat nak jawab call daripada Lyn. Ada lagi kata-kata yang menyakitkan hati yang nak disampaikan? Because I'm running out of time! Lyn nak balik cepat nak tengok a ak-anak dan suami yang suka sangat merajuk sekarang ini. Lyn bukannya jenis isteri yang tak bertanggungjawab walaupun ada orang itu dia memang tak pernah faham betapa beratnya beban yang ada atas bahu ni,''sindir Lyn geram.


Kelat liur Johan rasakan saat itu. Berdesing telinganya dengan sindiran demi sindiran. Itulah.... smash lagi tak tentu pasal. Kan dah kena balik!


''Oh! I'm sorry, sayang. Abang salah cakap tadi. Sayang tunggu sana, abang datang ambil.'' Johan segera menawarkan diri untuk menjemput sebagai tanda mahu memujuk.


''No, thanks! I Penat sangat dan I malas nak tunggu lagi. I boleh naik airport limo aja. See you soon.'' Talian itu terus dimatikan Lyn. Puas hatinya setelah meluahkan pula kesakitan hatinya yang telah disimpan semenjak beberapa hari yang lalu.


Hampir jam 3 pagi Lyn selamat tiba di rumah. Anak-anaknya sudah tertidur. Seperti yang diagaknya, Johan menyambutnya dengan senyum simpul yang cukup manis. Tubuhnya terus dipeluk suaminya dan bisikan di telinga cukup memberitahunya bahawa lelaki itu sedang merindui dirinya.


''Sorrylah pasal tadi. Abang tak sengaja. Termarah sikit aja,'' ujar Johan lunak.


''Hmm.... lepaslah sekejap. Penatlah,'' jawab Lyn malas hendak memanjang sengketa.


Di dalam bilik Johan bertanya sedikit sebanyak mengenai perkembangan terbaharu mengenai masalah yang sering dihadapi oleh Lyn. Sedaya upaya ditunjukkan sikap mengambil beratnya agar isterinya tidak terus berkecil hati.


Selesai mandi dan bersolat Isyak, Lyn terus ke katil. Tubuhnya mahu direhatkan setelah berjam-jam terperuk di dalam perut pesawat. Namun bagi seorang isteri sepertinya berehat sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan orang lain sudah tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Kini dalam keadaan fikirannya masih tidak tenang dengan masalah kerja, dia harus menghadap pula pujuk rayu sang suami yang seolah-olah tidak tahu yang esok masih ada. Namun, menyedari janji yang sudah ditaburkannya sebelum ini, antara mahu dengan tidak, Lyn menyerah juga.


Tetapi mereka berdua masing-masing bagaikan tidak begitu sejiwa dalam melayari hubungan itu. Lyn lebih banyak berdiam.


''Kenapa ni? Macam takde mood aja?'' soal Johan terkilan dengan reaksi sang isteri yang tidak seperti selalu.


''Penat. Fikiran ni runsing,'' jawab Lyn perlahan.


'' Takkan masa dengan abang pun nak fikir pasal kerja lagi?'' Dada Johan kembali hangat mendengar jawapan Lyn. Terasa dirinya kembali tidak penting dalam hidup sang isteri.


''Tolonglah jangan ajak Lyn bergaduh dalam keadaan macam ni. Orang penat ni. Dah tak larat!'' desis Lyn geram dengan suami yang masih mahu menyakitkan hatinya dalam keadaan begini.


''Habis tu, abang ni macam mana?'' keluh Johan merayu.


Lyn menghela nafas perlahan. Kasihan pula dia kepada suaminya itu.


''Macam mana apanya? Esok boleh tak? Penatlah,'' bisik sang wanita halus. Dalam kesamaran cahaya malam, dia membelai rambut suaminya itu lembut. Semoga lelaki itu mengerti keadaan dirinya. Bukan dia sengaja mahu mengelak. Tetapi dia letih.


''Habis tu bila? Malam esok? Jangan nanti sayang call beritahu nak ke Abu Dhabi pulak dahlah! Abang kahwin lagi satulah kalau macam ini,'' sindir Johan makin panas hati. Belaian sang isteri tidak lagi mendatangkan sebarang makna dalam keadaan dirinya tercabar begini.


''Pleaselah, Johan! Jangan nak perli-perli, boleh tak? You buat I lagi takde moodlah! Tak habis-habis nak ajak orang bergaduh! Dah tiada kerja lain agaknya,'' bentak Lyn dengan suara tertahan.


''Nak buat macam mana kalau orang itu tak sudi. Kita aja yang terhegeh-hegeh,'' balas Johan mula menunjukkan rajuknya pula.


''Eleh! Merajuklah tu. Okey, tak nak takpe. Orang tak open tender lama-lama. Siapa yang tak pandai rebut peluang, dialah yang rugi,'' ujar Lyn malas mahu melayan ragam Johan yang kuat benar merajuk semenjak dua tiga hari ini. Selimut ditariknya dan dia mula memejamkan mata.


Johan memandang lama isterinya itu. Menyedari malam esok belum tentu lagi isterinya itu akan berada di rumah seperti malam ini, lebih baik dia rebut sahaja peluang yang ada. Buatnya esok isterinya dipanggil ke Dubai lagi, alamat dialah yang gigit jari.


Namun penghabisannya mereka berdua membisu membawa arah sendiri setelah itu. Johan dengan hati berbuku yang masih belum surut dan Lyn pula dengan masalahnya. Keluhan Johan yang kedengaran di telinga Lyn menjelaskan kepadanya keadaan hati masing-masing yang tidak sebulu saat ini.


Buat seketika, Lyn merasakan betapa tidak bermaknanya buying an yang berlangsung sekejap tadi. Namun begitu, dia mengerti sudah tentulah ia berpunca daripada kesalahan dirinya yang lebih banyak mengutamakan perkara lain berbanding perasaan suaminya. Cuba juga untuk mengerti keadaan ini tanpa mahu menyimpan perasaan terkilan dalam hati. Dia tahu ego seorang suami sudah tentu sentiasa mahu dirinya diutamakan isteri berbanding yang lain.


Pagi itu selepas solat subuh bersama, Lyn mencapai tangan suaminya.


"Lyn minta maaf pasal semalam," ucapnya perlahan setelah dia tunduk mengucup tangan suaminya. Pagi ini setelah dia terjaga daripada tidurnya dan saat memandang wajah suaminya, dia mengerti. Betapa besarnya hak lelaki ini ke atas dirinya. Betapa sebelum melelapkan mata sekalipun dia memerlukan keredaan suami ke atas dirinya. Dia tidak boleh selamanya melayan hati tanpa memikirkan apa pula natijah ya jika dia terus membela rasa terkilan dalam hati. Seharusnya di usia perkahwinan yang semakin membanyak, dia seharusnya lebih mengerti sikap suaminya. Tetapi tidak, kadangkala dia khilaf dan suka melayan hati.


"Abang maafkan, sayang," jawab Johan lembut kepada sang isteri yang merenungnya sayu. Hatinya tersentuh melihat Lyn yang sanggup merendah diri kepadanya. Perlahan Johan meraih isterinya itu ke dalam pelukan. Dahi sang isteri dikucupnya lama. Betapa saat ini rasa kasihnya semakin menggebu.


"Lain kali kita jangan bergaduh sebelum tidur ya?" bisik Johan lembut. Matanya merenung wanita yang sedang bersandar di dadanya itu.


Lyn mengangguk perlahan. Saat ini satu kelegaan yang amat besar meresap masuk ke dalam dirinya bersama kedinginan pagi yang indah lalu menerbitkan satu keindahan yang amat hebat pada hatinya. Melihat hubungan mereka suami isteri kembali pulih, dia merasa amat bahagia.

Comment